Tips Mengatasi Sikap Suka Bertangguh

Jika anda suka bertangguh, anda menghadapi masalah yang sama dengan saya. Ia boleh jadi kerja yang anda rasakan terlalu mudah, jadi anda fikir buat nanti-nanti pun boleh. Atau sebaliknya, kerja itu sangat susah ataupun leceh untuk diselesaikan lalu anda tangguhkan dulu. Atau anda tak ada mood untuk menghabiskannya sekarang, lalu anda berkata nanti ada 'feel' dulu untuk membuatnya. Lalu masa pun dibazirkan hinggalah kita tersedar esok adalah datelinenya. Barulah kelam-kabut tak tidur malam menyiapkannya. Dan ketika itulah alam seakan-akan berkonspirasi menggagalkan kita. Printer untuk mencetak dokumen tersebut, waktu itulah kehabisan ink. Waktu itulah juga kopi kita pula tertumpah ke atas dokumen kita yang sempat diprint. Lalu hasil kerja yang sepatutnya berkualiti menjadi 'asal siap', langsung tidak menggambarkan kemampuan kita yang sebenar.

Kenapa kita jadi begini? Aspek jawapannya luas, mungkin cara didikan, latarbelakang, pengalaman hidup dan lain-lain lagi. Tetapi bagaimana jika ingin berubah? Di sini saya kongsikan beberapa tips yang saya peroleh, mudah-mudahan dapat kita manfaatkan bersama.

ANDA JENIS YANG MANA?

Menurut buku MindGym, terdapat lima faktor yang menyebabkan seseorang itu menangguhkan kerja iaitu:

1. Rasa selesa untuk bertangguh (Complacency).
"Alah, senang sangat benda ni. Bila-bila pun boleh buat."
"Banyak masa lagi ni. Nanti aku buatlah"

2. Kerja yang ingin dilakukan tidak disukai.
"Tak bestla buat benda ni. Nantilah"
"Dah leceh benda ni. Makan masa pulak tu. Nantilah aku buat"

3. Takut gagal. Kadangkala prospek kegagalan yang ada menyebabkan kita terus malas ingin bermula.
"Kalau aku study pun, mesti fail punya."
"Buat benda ni penat-penat pun belum tentu ada hasilnya. Baik buat benda lain."

4. Halangan emosi.
"Alaa...takde mood la nak buat benda tu."
"Saya penat/tension sangat la sekarang. Tunggulah dulu..."

5. Tindakan berilusi. Kita rasa macam kita buat banyak kerja, tapi sebenarnya kerja tu langsung tak menyumbang kepada pencapaian matlamat kita. Contoh: Seorang pelajar yang perlu mengulangkaji pelajaran, tapi sibuk menghabiskan masa design' jadual waktu, melukisnya cantik-cantik dengan pelbagai pensil warna berjam-jam lamanya.

TIPS MENGATASI

1. Bermulalah dengan lima minit.

Pilih satu kerja yang telah ditangguhkan dan buat selama lima minit. Kemudian berhenti dan buat penilaian. Mahu teruskan atau tidak? Jika mahu, tambahkan lima minit lagi. Selalunya yang paling sukar adalah untuk bermula. Apabila sudah bermula, semuanya akan perlahan-lahan menjadi mudah. Setakat ini, inilah kaedah paling berkesan untuk saya.

2. Bayangkan akibat.

Katakan kita mempunyai satu kerja yang datelinenya dua minggu lagi. Bayangkan bagaimana kalau tiba-tiba boss kita mempercepatkannya kepada tiga hari lagi. Bayangkan pula perasaan dan reaksi wajahnya melihat kerja anda yang tidak siap. Anda mungkin akan diperlekehkan, dimalukan di hadapan rakan sekerja malah mungkin terlepas peluang kenaikan pangkat. Lebih jelas sesuatu bayangan itu, lebih tinggilah motivasi untuk melakukannya.

3. Berikan hadiah kepada diri anda sekiranya selesai melakukan sesuatu.

Tetapkan satu ganjaran bagi anda, misalnya jika anda siapkan kerja itu, anda akan belikan diri anda aiskrim kegemaran anda. Namun, harus berhati-hati. Kaedah ini memerlukan disiplin. Jangan sekali-kali menikmati ganjaran sebelum kerja itu siap. Dan ganjaran juga haruslah setimpal dengan kerja yang dilakukan. Terpulanglah kepada anda untuk menentukannya.

4. Lakukan sesuatu yang tidak disukai bersama sesuatu yang disukai.

Mengemas rumah bukanlah suatu aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh orang seperti saya, tapi sekiranya saya melakukannya ketika mendengar muzik yang saya gemari atau sambil menyanyi lagu kegemaran saya, aktiviti tersebut tidaklah membosankan sangat. Kadangkala saya akan menyanyi sambil melakukan kerja tersebut. Dalam masa yang sekejap, kerja akan siap. Cuma isteri saya sajalah yang bengang bila mendengar suara saya melalak. Apa juga caranya, lakukanlah sertakan sesuatu yang kita suka dengan perkara yang kita tidak suka, seperti mengambil sedikit madu sebelum menelan ubat yang pahit.

5. Beritahu kawan-kawan anda.

Jika anda ada satu matlamat, beritahu rakan yang rapat atau selalu berhubung dengan anda. Jadi, sekiranya anda tidak melakukan sebarang usaha ke arah mencapai matlamat tersebut, anda akan malu dan tertekan bila bertemu atau berdepan dengan mereka. Ini boleh manjadi satu motivasi mental untuk anda berjaya.

Itulah dia anata perkara yang kita boleh lakukan. Moga-moga tips ini dapat membantu diri saya dan anda semua.


1 comments:

Anonymous April 23, 2017 at 1:40 AM  

so helpful.. tq so much :)

Post a Comment



Tentang Blog Ini

Blog ini adalah tulisan berdasarkan pandangan dan pendapat peribadi tentang kehidupan penulis dan persekitarannya yang diperoleh melalui pembacaan, pemerhatian dan pengalaman. Pastinya ada kena mengena samada dengan yang masih hidup dan/atau yang sudah meninggal dunia. Tetapi tidaklah sehingga ingin menghina atau merendah-rendahkan sesiapa. Yang baik kita jadikan tauladan, yang buruk kita jadikan sempadan.

Blog ini direka oleh Ray Creations