Adakah Anda Tahu? Fakta Menarik Tentang Internet






Read more...

Bersalin; Hospital Kerajaan atau Swasta?

Sewaktu trimester pertama anak sulung kami, aku dan isteri sudah mula membincangkan jenis hospital yang patut dipilih. Tentang pro dan kontra setiap satunya. Masuk trimester kedua, aku masih pening memikirkan pilihan mana yang patut diambil. Kerajaan atau swasta? Sehinggalah akhirnya aku dan isteri secara 'tak sengaja' memilih hospital kerajaan.

Dalam menentukan pilihan tersebut, bagi aku cuma ada dua faktor besar yang perlu ditimbang-timbangkan, adakah anda lebih risaukan tentang kos atau layanan?

Di hospital swasta, bakal ibu sudah tentulah dilayan bagaikan permaisuri. Namun dengan kos bayaran antara RM2000 hingga RM7000, (bergantung pada jenis kelahiran dan komplikasi), perancangan awal perlu ada bagi golongan sederhana seperti aku. Aku terfikir juga bayaran ini bagaikan membazir sedangkan bajet yang sama boleh digunakan untuk membeli keperluan bayi yang sudah tentunya banyak selepas kelahiran nanti.

Berbanding kerajaan yang cajnya hampir percuma (apatah lagi aku dan isteri adalah kakitangan awam),ianya terlalu kerap pula dikaitkan dengan layanan kurang sempurna dan tidak memuaskan. Setakat ditengking dan dimarahi staf bertugas adalah perkara yang biasa diceritakan oleh teman-teman. Selain itu proses pemeriksaan juga amat leceh dan memakan masa yang lama.

Tetapi, alhamdulillah, pengalaman pertama di Hospital Melaka, semuanya berjalan lancar. Layanan juga baik dan memuaskan. Tengok nasib, kata sesetengah orang. Entahlah, mungkin betul, mungkin juga tidak. Isteriku ada ditengking dalam kamar bersalin kerana tidak tahu meneran. Maklumlah, jadual kursus antenatal yang sepatutnya kami hadiri adalah pada 24hb September sedangkan hari kelahiran adalah pada 14hb. Sungguh, kami tak sangka! Lagipun, inikan anak pertama! Namun isteri aku melihat tengkingan tersebut dari sudut positif. Kemarahan tersebut dilihat sebagai pelajaran dan tanda bidan itu mengambil berat tentang keselamatan ibu dan anak.

Tapi tak semua orang tahan dimarah.

Mungkinkah latarbelakang pendidikan memainkan peranan dalam aspek layanan hospital kerajaan terhadap kita? Ini juga aku tidak pasti. Mungkin boleh ditanyakan pada orang lain yang lebih berpengalaman.

Ada juga desas-desus orang bercerita keburukan hospital swasta, di mana jikalau terdapat komplikasi kelahiran yang serius, mereka akan berlepas tangan dan ibu tersebut akan dihantar ke hospital kerajaan. Wallahu'alam.

Apapun pilihan suami-isteri, pastinya kita mendoakan yang terbaik dan agar semuanya selamat dan sejahtera.

Read more...

My Baby You


Cahayamata Sulungku
Originally uploaded by temauan
Alhamdulillah, Aidilfitri ini aku dan isteri sudah beraya bertiga.

Sejuta kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi. Sekitar jam 8.30 malam 25 Ramadhan 1430H bersamaan 14 September 2009 cahayamata sulungku, seorang bayi perempuan telah selamat dilahirkan. Isteriku mengharungi 10 jam di kamar bersalin tetapi alhamdulillah semuanya selamat.

Kelahirannya awal 17 hari dari tarikh jangkaan. Oleh kerana jadual kursus antenatal yang sepatutnya aku hadiri untuk menjadi 'lesen' aku menemani isteriku di dalam kamar bersalin adalah pada 24hb September, aku cuma dapat menunggu dan menemaninya di luar. Memberi sokongan moral melalui telefon bimbit.

Moral of the story: Lain kali daftar kursus tu awal-awal sikit.

Terima kasih pada semua yang mengucapkan tahniah dan mendoakan isteri dan anakku.

Read more...

Tips Mengatasi Sikap Suka Bertangguh

Jika anda suka bertangguh, anda menghadapi masalah yang sama dengan saya. Ia boleh jadi kerja yang anda rasakan terlalu mudah, jadi anda fikir buat nanti-nanti pun boleh. Atau sebaliknya, kerja itu sangat susah ataupun leceh untuk diselesaikan lalu anda tangguhkan dulu. Atau anda tak ada mood untuk menghabiskannya sekarang, lalu anda berkata nanti ada 'feel' dulu untuk membuatnya. Lalu masa pun dibazirkan hinggalah kita tersedar esok adalah datelinenya. Barulah kelam-kabut tak tidur malam menyiapkannya. Dan ketika itulah alam seakan-akan berkonspirasi menggagalkan kita. Printer untuk mencetak dokumen tersebut, waktu itulah kehabisan ink. Waktu itulah juga kopi kita pula tertumpah ke atas dokumen kita yang sempat diprint. Lalu hasil kerja yang sepatutnya berkualiti menjadi 'asal siap', langsung tidak menggambarkan kemampuan kita yang sebenar.

Kenapa kita jadi begini? Aspek jawapannya luas, mungkin cara didikan, latarbelakang, pengalaman hidup dan lain-lain lagi. Tetapi bagaimana jika ingin berubah? Di sini saya kongsikan beberapa tips yang saya peroleh, mudah-mudahan dapat kita manfaatkan bersama.

ANDA JENIS YANG MANA?

Menurut buku MindGym, terdapat lima faktor yang menyebabkan seseorang itu menangguhkan kerja iaitu:

1. Rasa selesa untuk bertangguh (Complacency).
"Alah, senang sangat benda ni. Bila-bila pun boleh buat."
"Banyak masa lagi ni. Nanti aku buatlah"

2. Kerja yang ingin dilakukan tidak disukai.
"Tak bestla buat benda ni. Nantilah"
"Dah leceh benda ni. Makan masa pulak tu. Nantilah aku buat"

3. Takut gagal. Kadangkala prospek kegagalan yang ada menyebabkan kita terus malas ingin bermula.
"Kalau aku study pun, mesti fail punya."
"Buat benda ni penat-penat pun belum tentu ada hasilnya. Baik buat benda lain."

4. Halangan emosi.
"Alaa...takde mood la nak buat benda tu."
"Saya penat/tension sangat la sekarang. Tunggulah dulu..."

5. Tindakan berilusi. Kita rasa macam kita buat banyak kerja, tapi sebenarnya kerja tu langsung tak menyumbang kepada pencapaian matlamat kita. Contoh: Seorang pelajar yang perlu mengulangkaji pelajaran, tapi sibuk menghabiskan masa design' jadual waktu, melukisnya cantik-cantik dengan pelbagai pensil warna berjam-jam lamanya.

TIPS MENGATASI

1. Bermulalah dengan lima minit.

Pilih satu kerja yang telah ditangguhkan dan buat selama lima minit. Kemudian berhenti dan buat penilaian. Mahu teruskan atau tidak? Jika mahu, tambahkan lima minit lagi. Selalunya yang paling sukar adalah untuk bermula. Apabila sudah bermula, semuanya akan perlahan-lahan menjadi mudah. Setakat ini, inilah kaedah paling berkesan untuk saya.

2. Bayangkan akibat.

Katakan kita mempunyai satu kerja yang datelinenya dua minggu lagi. Bayangkan bagaimana kalau tiba-tiba boss kita mempercepatkannya kepada tiga hari lagi. Bayangkan pula perasaan dan reaksi wajahnya melihat kerja anda yang tidak siap. Anda mungkin akan diperlekehkan, dimalukan di hadapan rakan sekerja malah mungkin terlepas peluang kenaikan pangkat. Lebih jelas sesuatu bayangan itu, lebih tinggilah motivasi untuk melakukannya.

3. Berikan hadiah kepada diri anda sekiranya selesai melakukan sesuatu.

Tetapkan satu ganjaran bagi anda, misalnya jika anda siapkan kerja itu, anda akan belikan diri anda aiskrim kegemaran anda. Namun, harus berhati-hati. Kaedah ini memerlukan disiplin. Jangan sekali-kali menikmati ganjaran sebelum kerja itu siap. Dan ganjaran juga haruslah setimpal dengan kerja yang dilakukan. Terpulanglah kepada anda untuk menentukannya.

4. Lakukan sesuatu yang tidak disukai bersama sesuatu yang disukai.

Mengemas rumah bukanlah suatu aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh orang seperti saya, tapi sekiranya saya melakukannya ketika mendengar muzik yang saya gemari atau sambil menyanyi lagu kegemaran saya, aktiviti tersebut tidaklah membosankan sangat. Kadangkala saya akan menyanyi sambil melakukan kerja tersebut. Dalam masa yang sekejap, kerja akan siap. Cuma isteri saya sajalah yang bengang bila mendengar suara saya melalak. Apa juga caranya, lakukanlah sertakan sesuatu yang kita suka dengan perkara yang kita tidak suka, seperti mengambil sedikit madu sebelum menelan ubat yang pahit.

5. Beritahu kawan-kawan anda.

Jika anda ada satu matlamat, beritahu rakan yang rapat atau selalu berhubung dengan anda. Jadi, sekiranya anda tidak melakukan sebarang usaha ke arah mencapai matlamat tersebut, anda akan malu dan tertekan bila bertemu atau berdepan dengan mereka. Ini boleh manjadi satu motivasi mental untuk anda berjaya.

Itulah dia anata perkara yang kita boleh lakukan. Moga-moga tips ini dapat membantu diri saya dan anda semua.



Read more...

Jantina Janin: Antara Petua dan Teknologi

Dengan kecanggihan teknologi ultrasound masa kini, jantina janin dalam kandungan ibunya sudah dapat dikenalpasti beberapa bulan sebelum ianya dilahirkan. Malah, pasangan yang bertuah sudah dapat melihat wajah anak mereka dalam kandungan menggunakan teknik pengimejan 4 dimensi. Sudah boleh bergaduh si kecil mengikut muka siapa. Ada yang lebih selesa begini, supaya persiapan terutamanya dari segi pakaian boleh dipadankan sesuai mengikut cirinya samada 'orang serambi' atau 'orang dapur'. Namun tak kurang juga yang sukakan 'the element of surprise'. Biarlah jantina itu diketahui hanya pada saat kelahiran, baru lebih 'thrill'. Lagipun kadangkala ultrasound pun salah memberi jawapan, seperti yang terjadi pada kawanku. Doktor mengesahkan janinnya perempuan, sekali yang keluarnya lelaki.

Tetapi suatu ketika dahulu, ketika teknologi sebegini belum wujud, berbagai jenis petua telah diajarkan untuk mengenal pasti jantina janin. Berikut adalah beberapa daripadanya yang aku dengar dari saudara-mara dan rakan.

1. Tengok bentuk perut. Sekiranya perut nampak terbonjol ke depan, anak lelaki. Sekiranya melebar ke tepi, perempuan.

2. Sekiranya si suami kerap tergigit lidahnya sewaktu kehamilan isteri, anaknya perempuan.

3. Lihat kanak-kanak (terutamanya di kalangan saudara-mara) yang suka dekat dengan isteri. Sekiranya ramai kanak-kanak lelaki, maka kemungkinan anak dalam kandungan adalah perempuan kerana sifatnya yang berlawanan. Begitulah sebaliknya.

4. Kandungan yang lasak selalunya lelaki.

Dan mungkin banyak lagi. Ada yang kata tengok buku lalilah. Ada pula yang kata tengok arah tidur isterilah dan macam-macam lagi.

Sejauh manakah kebenarannya? Allah Jualah Yang Lebih Mengetahui.


Read more...

Sempena 1MALAYSIA

Sempena kemerdekaan negara yang ke-52 ini, dan demi memaknakan slogan 1Malaysia yang dilaung-laungkan, kerajaan dengan ini telah bersetuju untuk menaikkan harga minyak petrol sebanyak 25 sen berkuatkuasa tengah malam ini (1 September).

Rakyat didahulukan (menanggung beban), pencapaian (pencapaian siapalah agaknya) diutamakan.

Read more...

Perginya Seorang Pelajarku

"Assalamu'alaikum encik. Dukacita dimaklumkan kami kehilangan seorang sahabat kami yang juga pelajar encik akibat kemalangan petang tadi." Demikian suaranya dalam talian lewat malam tadi.

Tergamam aku tatkala mendengar berita itu.
"Innalillahiwainnailaihiraji'un. Siapa?"

"Arif encik"

Arif? Dalam kelasku yang sekitar 120 orang, sedikit lambat untuk aku menggambarkan wajah pemilik nama itu. Kemudian aku teringat.

"Tinggi tinggi pakai spek kan?"
"Ya encik, kulit hitam manis."
"Macamana kemalangan tu berlaku?
"Saya tak pasti encik. Tapi di Tol Sungai Besi. Mati di tempat kejadian. "

Aduhh. Kalau begitu ajalnya, kecederaannya pasti parah.

Wajahnya sudah jelas terbayang di fikiranku. Dia pelajar yang bijak dan rajin bertanya. Pernah aku bertanyakan soalan mencabar di dalam kuliah, hanya dua orang yang berjaya menjawab. Salah seorangnya adalah dia.

Rasa sayu bercampur terkejut terus menguasai hati. Dengan usia semuda itu, pasti hancur hati ibu dan bapanya. Tapi ketentuan Allah itu pasti. Di sebalik kesedihan ini, pemergiannya pada hari Jumaat dalam bulan Ramadhan pula mungkin suatu petanda dia termasuk dalam golongan dipilih Allah. Ianya juga menjadi peringatan bagi yang masih hidup, tiada jaminan bahawa kita ini akan hidup sehingga tua, hatta sehingga esok hari.

Selamat berehat pelajarku. Kudoakanmu tergolong dalam golongan yang mendapat rahmat Ilahi dan ditempatkan di kalangan penghuni syurga. Al-Fatihah.




Read more...



Tentang Blog Ini

Blog ini adalah tulisan berdasarkan pandangan dan pendapat peribadi tentang kehidupan penulis dan persekitarannya yang diperoleh melalui pembacaan, pemerhatian dan pengalaman. Pastinya ada kena mengena samada dengan yang masih hidup dan/atau yang sudah meninggal dunia. Tetapi tidaklah sehingga ingin menghina atau merendah-rendahkan sesiapa. Yang baik kita jadikan tauladan, yang buruk kita jadikan sempadan.

Blog ini direka oleh Ray Creations