Bersalin; Hospital Kerajaan atau Swasta?

Sewaktu trimester pertama anak sulung kami, aku dan isteri sudah mula membincangkan jenis hospital yang patut dipilih. Tentang pro dan kontra setiap satunya. Masuk trimester kedua, aku masih pening memikirkan pilihan mana yang patut diambil. Kerajaan atau swasta? Sehinggalah akhirnya aku dan isteri secara 'tak sengaja' memilih hospital kerajaan.

Dalam menentukan pilihan tersebut, bagi aku cuma ada dua faktor besar yang perlu ditimbang-timbangkan, adakah anda lebih risaukan tentang kos atau layanan?

Di hospital swasta, bakal ibu sudah tentulah dilayan bagaikan permaisuri. Namun dengan kos bayaran antara RM2000 hingga RM7000, (bergantung pada jenis kelahiran dan komplikasi), perancangan awal perlu ada bagi golongan sederhana seperti aku. Aku terfikir juga bayaran ini bagaikan membazir sedangkan bajet yang sama boleh digunakan untuk membeli keperluan bayi yang sudah tentunya banyak selepas kelahiran nanti.

Berbanding kerajaan yang cajnya hampir percuma (apatah lagi aku dan isteri adalah kakitangan awam),ianya terlalu kerap pula dikaitkan dengan layanan kurang sempurna dan tidak memuaskan. Setakat ditengking dan dimarahi staf bertugas adalah perkara yang biasa diceritakan oleh teman-teman. Selain itu proses pemeriksaan juga amat leceh dan memakan masa yang lama.

Tetapi, alhamdulillah, pengalaman pertama di Hospital Melaka, semuanya berjalan lancar. Layanan juga baik dan memuaskan. Tengok nasib, kata sesetengah orang. Entahlah, mungkin betul, mungkin juga tidak. Isteriku ada ditengking dalam kamar bersalin kerana tidak tahu meneran. Maklumlah, jadual kursus antenatal yang sepatutnya kami hadiri adalah pada 24hb September sedangkan hari kelahiran adalah pada 14hb. Sungguh, kami tak sangka! Lagipun, inikan anak pertama! Namun isteri aku melihat tengkingan tersebut dari sudut positif. Kemarahan tersebut dilihat sebagai pelajaran dan tanda bidan itu mengambil berat tentang keselamatan ibu dan anak.

Tapi tak semua orang tahan dimarah.

Mungkinkah latarbelakang pendidikan memainkan peranan dalam aspek layanan hospital kerajaan terhadap kita? Ini juga aku tidak pasti. Mungkin boleh ditanyakan pada orang lain yang lebih berpengalaman.

Ada juga desas-desus orang bercerita keburukan hospital swasta, di mana jikalau terdapat komplikasi kelahiran yang serius, mereka akan berlepas tangan dan ibu tersebut akan dihantar ke hospital kerajaan. Wallahu'alam.

Apapun pilihan suami-isteri, pastinya kita mendoakan yang terbaik dan agar semuanya selamat dan sejahtera.

0 comments:

Post a Comment

Tentang Blog Ini

Blog ini adalah tulisan berdasarkan pandangan dan pendapat peribadi tentang kehidupan penulis dan persekitarannya yang diperoleh melalui pembacaan, pemerhatian dan pengalaman. Pastinya ada kena mengena samada dengan yang masih hidup dan/atau yang sudah meninggal dunia. Tetapi tidaklah sehingga ingin menghina atau merendah-rendahkan sesiapa. Yang baik kita jadikan tauladan, yang buruk kita jadikan sempadan.

Blog ini direka oleh Ray Creations