Ramadhan

Ramadhan. Saat yang ditunggu-tunggu oleh kaum muslimin menjengah lagi, memberi peluang kepada kita untuk beramal ibadah kepada Allah dengan harapan agar dikurniakan pahala berlipat kali ganda dengan izinNya. Terawih, tadarus al-Quran, dan moreh adalah perkara-perkara yang sinonim dengan bulan yang mulia ini.

Ahad lepas, ustaz yang memberikan kuliah Subuh telah menerangkan secara ringkas tentang beberapa perkara berkaitan dengan bulan Ramadhan. Izinkan aku berkongsi di sini.

Pertamanya, berkenaan rakaat solat terawih. Dua puluh kah atau lapan? Perkara ini sering mewujudkan pertikaian. Ada yang menyatakan solat terawih itu dua puluh, tidak boleh dikurangkan. Bagi mereka ini, solat terawih lapan rakaat adalah bidaah. Jika di kampung aku pula di Negeri Sembilan, solat terawihnya pula sepuluh rakaat. Manakah yang benar? Entahlah, aku pun tidak tahu dan tidak layak untuk memberikan pendapat. Cuma pesan ustaz tersebut, pilihlah yang mana sesuai bagi kita. Jika kita orang yang mahukan solat dua puluh rakaat, carilah masjid atau surau yang menganjurkan jumlah itu. Begitu juga jika mahukan lapan atau sepuluh, carilah tempat yang sesuai dengan jiwa kita. Tapi jangan pula kita mempertikaikan orang lain yang tidak sependapat dengan kita. Bagi aku, untuk golongan orang awam dan bukan arif dalam hal-ehwal agama, inilah pendekatan terbaik yang harus diambil.

Kedua, beliau menceritakan senario solat terawih itu sendiri. Lazimnya, pada sepuluh malam pertama, masjid dan surau segenap tempat akan penuh dengan jemaah sehinggakan khemah tambahan terpaksa dipasang untuk memuatkan mereka semua. Namun, masuk sepuluh malam yang kedua, jemaah semakin berkurang. Hinggalah sepuluh malam yang terakhir, yang tinggal mungkin satu atau dua saf sahaja. Itupun dari golongan jemaah yang memang biasa ke masjid. Kenapa fenomena ini berlaku sedangkan sepuluh malam yang terakhir itu, Allah janjikan kebebasan dari api neraka? Tetapi kita sibuk membeli-belah di bazaar untuk kelengkapan Hari Raya.

Jawab beliau, kerana kemampuan untuk istiqamah dalam solat terawih ini adalah cermin daripada sifat dan sikap kita dalam menunaikan solat fardhu. Sekiranya kita mengambil sikap sambil lewa dan malas menunaikan solat fardhu, maka kesungguhan kita untuk berterawih juga akan berkurang. Semangat yang pada mulanya berkobar-kobar akan semakin malap dan akhirnya terpadam.

Manakala yang ketiga, berkenaan persetubuhan di antara suami isteri di siang bulan Ramadhan. Sekiranya berlaku, maka hanya suamilah yang perlu membayar kaffarah puasa dua bulan berturut-turut manakala isteri hanya perlu mengganti puasa hari itu sahaja. Ini adalah kerana pembatalan puasa itu apabila kita memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan. Maka antara suami dan isteri, suamilah yang sabit kesalahan kerana dialah yang memasukkan sesuatu itu. Aku baru tahu ni. Hehe.

Lagi Info tentang Kaffarah Jimak Di Siang Bulan Ramadhan


Allah Jualah Yang Lebih Mengetahui.

1 comments:

temauan August 23, 2009 at 9:36 PM  

test...test

Post a Comment



Tentang Blog Ini

Blog ini adalah tulisan berdasarkan pandangan dan pendapat peribadi tentang kehidupan penulis dan persekitarannya yang diperoleh melalui pembacaan, pemerhatian dan pengalaman. Pastinya ada kena mengena samada dengan yang masih hidup dan/atau yang sudah meninggal dunia. Tetapi tidaklah sehingga ingin menghina atau merendah-rendahkan sesiapa. Yang baik kita jadikan tauladan, yang buruk kita jadikan sempadan.

Blog ini direka oleh Ray Creations