Perginya Seorang Pelajarku

"Assalamu'alaikum encik. Dukacita dimaklumkan kami kehilangan seorang sahabat kami yang juga pelajar encik akibat kemalangan petang tadi." Demikian suaranya dalam talian lewat malam tadi.

Tergamam aku tatkala mendengar berita itu.
"Innalillahiwainnailaihiraji'un. Siapa?"

"Arif encik"

Arif? Dalam kelasku yang sekitar 120 orang, sedikit lambat untuk aku menggambarkan wajah pemilik nama itu. Kemudian aku teringat.

"Tinggi tinggi pakai spek kan?"
"Ya encik, kulit hitam manis."
"Macamana kemalangan tu berlaku?
"Saya tak pasti encik. Tapi di Tol Sungai Besi. Mati di tempat kejadian. "

Aduhh. Kalau begitu ajalnya, kecederaannya pasti parah.

Wajahnya sudah jelas terbayang di fikiranku. Dia pelajar yang bijak dan rajin bertanya. Pernah aku bertanyakan soalan mencabar di dalam kuliah, hanya dua orang yang berjaya menjawab. Salah seorangnya adalah dia.

Rasa sayu bercampur terkejut terus menguasai hati. Dengan usia semuda itu, pasti hancur hati ibu dan bapanya. Tapi ketentuan Allah itu pasti. Di sebalik kesedihan ini, pemergiannya pada hari Jumaat dalam bulan Ramadhan pula mungkin suatu petanda dia termasuk dalam golongan dipilih Allah. Ianya juga menjadi peringatan bagi yang masih hidup, tiada jaminan bahawa kita ini akan hidup sehingga tua, hatta sehingga esok hari.

Selamat berehat pelajarku. Kudoakanmu tergolong dalam golongan yang mendapat rahmat Ilahi dan ditempatkan di kalangan penghuni syurga. Al-Fatihah.



0 comments:

Post a Comment



Tentang Blog Ini

Blog ini adalah tulisan berdasarkan pandangan dan pendapat peribadi tentang kehidupan penulis dan persekitarannya yang diperoleh melalui pembacaan, pemerhatian dan pengalaman. Pastinya ada kena mengena samada dengan yang masih hidup dan/atau yang sudah meninggal dunia. Tetapi tidaklah sehingga ingin menghina atau merendah-rendahkan sesiapa. Yang baik kita jadikan tauladan, yang buruk kita jadikan sempadan.

Blog ini direka oleh Ray Creations