Berbuka: Dimasak @ Dibeli?

Pada hari bekerja selalunya bazaar Ramadhanlah menjadi tempat dituju bagi mencari juadah berbuka sewaktu pulang. Mudah. Pilihan juga banyak. Tetapi banyak sangat pun masalah juga. Kadangkala terlalu banyak yang diingini. Kadangkala tak ada pula yang berkenan di hati. Sehingga terpaksa berulang-alik berkali-kali kerana tak tahu apa yang hendak dibeli. Tetapi yang menyakitkan hati adalah apabila makanan yang dibeli tidak seperti yang diiklan atau dicanangkan.

Hari itu isteri aku beli karipap di bazaar Ramadhan. Terang-terang diiklankan di situ Karipap Kentang Panas! Diletakkan pula karipap itu di depan kuali panas seperti ianya baru dimasak. Jadi sudah tentulah kami sangkakan karipap itu juga segar! Rupa-rupanya bila dimakan sudah hampir basi!

Hampir semua orang pernah terkena dengan perkara seumpama ini. Beli kuih berinti, intinya cuma secubit. Beli nasi ayam hainan, rasa seperti nasi ayam siram air paip. Selagi mana ada peniaga yang tidak beretika ini, selagi itulah mereka akan cuba mengambil kesempatan meningkatkan margin keuntungan dengan mengorbankan kualiti.

Lalu apa pilihan yang tinggal? Masak sendiri. Ya, jawapan yang mudah. Makanan yang dimasak sendiri lebih berzat dan berkat bukan? Air tangan isteri atau ibu memberi kesan yang sangat positif pada keluarga. Tetapi hari bekerja lazimnya adalah hari yang memenatkan. Ditambah lagi dengan keadaan isteriku yang sedang sarat sekarang ini. Takkanlah aku nak paksa pula. Isteriku lalu menawarkan satu penyelesaian.

"Abang masaklah untuk kita berdua," katanya.

"Abang tak pandailah," aku memberi alasan.

"Alah, semua benda pun kalau tak belajar tak pandai."

Aku rasa aku pernah guna ayat tu waktu kami mula-mula kahwin dulu. Nampaknya aku dah terkena balik. Senyum sahajalah.


0 comments:

Post a Comment



Tentang Blog Ini

Blog ini adalah tulisan berdasarkan pandangan dan pendapat peribadi tentang kehidupan penulis dan persekitarannya yang diperoleh melalui pembacaan, pemerhatian dan pengalaman. Pastinya ada kena mengena samada dengan yang masih hidup dan/atau yang sudah meninggal dunia. Tetapi tidaklah sehingga ingin menghina atau merendah-rendahkan sesiapa. Yang baik kita jadikan tauladan, yang buruk kita jadikan sempadan.

Blog ini direka oleh Ray Creations